Sesungguhnya Islam itu teramat cantik, tidak mungkin mengetepikan kecantikan seni fotografi yang istimewa, yang mampu menyentuh jiwa dengan 'cahaya islam' yang hakiki - Peter Sanders


Follow Us @soratemplates

Isnin, 6 Disember 2010

Tribute: 17 tahun pemergian Allahyarham Mohd Yusof Ma'amor



Kalau arwah masih hidup, umurnya pada hari ini ialah 85 tahun. Beliau meninggal dunia pada usia 68 tahun, kira-kira sebulan lagi sebelum hari lahirnya yang ke-69. Aku sebenarnya tak diberitahu yang beliau telah menderita kesakitan akibat TB dan terlantar selama lebih sebulan. Masa itu aku bersekolah di Ipoh dan hanya telefonlah penyambung komunikasi diantara aku dan keluarga di Kuala Lumpur. Zaman itu tiada Wifi, tiada internet dan tiada komputer di asrama. Ibuku seorang yang bijak menyimpan rahsia. Meskipun sehari sebelum aku menduduki peperiksaan SPM, malam yang hujan lebat itu arwah telahpun nazak. Doktor juga sudah dipanggil dan mengesahkan tiada apa yang boleh dilakukannya melainkan disuruhnya adik-beradik membacakan Yassin buat arwah.

Arwah suka bermain bolasepak


Tetapi kuasa Allah Maha Hebat. Dia tidak meninggal malam itu. Ibu kata MUNGKIN dia menunggu aku pulang dari Ipoh dulu. Dia kembali terlantar menderita di depan ruang tamu seperti hari-hari lalunya. Tapi bagi aku, aku tau ada sesuatu yang ibu sorokkan bila aku menelefonnya pagi itu kerana malam sebelumnya itu aku telah bermimpi melihat gambaran adik-beradikku bersolat berjemaah tetapi yang menjadi imamnya adalah ibuku.

Arwah pernah berkhidmat secara sukarela untuk pasukan Malaya Police Force selama 3 tahun
2 minggu setelah aku menamatkan peperiksaan SPM, aku sempat bekerja di sebuah kilang batik berdekatan rumah. Suatu petang ketika aku pulang dari kerja, aku lihat sebuah van ambulan sudah mengangkut arwah dan membawanya pergi ke HKL. Arwah berada di hospital lebih kurang seminggu tetapi pada waktu itu beliau sudah kurang mengenali orang lagi. Beliau sudah mula kerap memberitahu sipolan itu dan sipolan ini (semuanya adalah saudara-maranya yang telah dulu pergi meninggalkan dunia) saban hari mengunjunginya di hospital apabila kami sudah pulang.
Beliau merupakan pelajar terbaik di College of Agriculture


Pada suatu malam, arwah memberitahu kami adik-beradik bahawa ada seorang lelaki berjubah putih memanggilnya sambil jarinya menuding dan matanya tidak berkedip-kedip memandang ke atas (meskipun yang kami lihat di atas itu cuma bumbung hospital). Sepupunya membacakan Syahadah ditelinganya dan alhamdulillah, dia bukan sahaja mengikutnya malah wajahnya kelihatan sungguh gembira.

Arwah adalah seorang yang ayah yang pendiam tetapi di dalam dirinya penuh dengan kelebihan yang tidak diketahui hatta anak-anaknya sehinggalah setahun pemergiannya. Itupun secara kebetulan semasa sedang mengemas barang-barang dalam almarinya untuk dibuang.



Pagi itu aku sedang bekerja di kilang batik apabila aku dipanggil oleh supervisor untuk menjawab telefon. Ya, itulah panggilan telefon dari abangku di hospital memaklumkan bahawa arwah telah pergi. Jenazah beliau telah dimandikan dan dikafankan bersama oleh abangku sebelum dibawa pulang dan dikebumikan selepas Asar 6 Disember 1993. Aku tau pengalamannya menemani arwah pada malam terakhir itu- melihat bagaimana arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan memandikan arwah itu jauh lebih meninggalkan kesan buat abang dari aku yang hanya melihat jenazahnya yang sudah terbaring kaku di rumah. Pun begitu, aku mengambil masa setahun juga untuk menerima hakikat bahawa dia telah tiada kerana semuanya pada aku bagaikan mimpi.

Begitulah tamatnya riwayat Allahyarham Mohd Yusof Bin Ma'amor. Beliau adalah seorang lelaki yang aku panggil ABAH tetapi dia pergi sebelum sempat aku membalas jasa-jasanya. Hari ini genap 17 tahun dia pergi meninggalkan kami tetapi janji aku kepadanya untuk menjaga ibu masih lagi kuat dan utuh dalam hatiku. Insyaallah, selagi Allah beri keizinan dan umurku masih panjang, aku akan terus berbakti kepada ibuku. Aku tak mahu lagi terlewat membalas jasa ibu sebagaimana aku telah terlepas melaksanakannya kepada arwah abah. Al-Fatihah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab komen! Saaaaayang korang!

Follow Me at flickr! .